JUN 2021

64 Peratus Warga Sibu Sudah Diberi Vaksin Dos Pertama


SIBU, Rabu: Setakat semalam lebih daripada 60 % warga Bahagian Sibu sudah menerima suntikan vaksin dos pertama, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg. 

Sejumlah 149,743 orang sudah diberi suntikan dos pertama atau 64.4 % daripada 232,528 rakyat di sekitar Bahagian Sibu yang layak menerima vaksin, jelas Datuk Patinggi Abang Haji Zohari kepada wartawan pada sidang media sempena lawatan singkat beliau ke sini hari ini. 

Datuk Patinggi Abang Zohari dan rombongan telah dibawa melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bertempat di Kampus UCTS di mana mereka telah diberi taklimat mengenai keadaan semasa COVID-19 dan program pemberian vaksin bagi Bahagian Sibu. 

Ahli rombongan beliau termasuk Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari memuji kerjasama antara pihak perkhidmatan awam dan swasta di Sibu yang telah berjaya membuka PPVIN di UCTS untuk memberi vaksin kepada para pekerja industri di sini di bawah kepimpinan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Haji Rapa’ee. 

PPVIN tersebut merupakan satu lagi tambahan kepada PPV sedia ada seperti berikut untuk mempercepatkan program pemberian vaksin di kawasan Sibu:

1) Kementerian Kesihatan di Hospital Sibu dan Kanowit, Klinik Kesihatan Lanang, Sibu Jaya dan Selangau;

2) PPV Awam di Stadium Tertutup Sibu, Dewan Serbaguna Selangau dan Sibu Jaya, dan Dewan Pejabat Daerah Kanowit;

3) PPV Hospital Swasta di Rejang Medical Centre dan KPJ Sibu; dan

4) 4 PPV Bergerak. 

Sejurus tiba di UCTS beliau telah melancarkan PPV Bergerak sebagai usaha tambahan untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat yang tidak berkeupayaan untuk datang ke pusat-pusat vaksin sedia ada. 

Program pemberian vaksin di Bahagian Sibu disasarkan untuk memberi 7,000 dos suntikan setiap hari.

Seramai 116, 016 (49.9 %) telah menerima suntikan dos pertama, dan 33,727 (14.5%) bagi dos kedua setakat semalam.

Sumber dari : Sarawakku